Mengubah Pandangan Tentang Pusat Jagaan Warga Emas: Realiti & Harapan Generasi Sandwich
Generasi sandwich berdepan cabaran menjaga ibu bapa & anak. Fahami mengapa pusat jagaan warga emas bukan tanda mengabaikan, tetapi pilihan penuh kasih.
PENJAGAAN WARGA EMAS
Dr Shahir Nadzir
8/12/20252 min read


Seorang Ibu Boleh Jaga 10 Anak, Tapi 10 Anak Belum Tentu Boleh Jaga Seorang Ibu
Kita semua pernah dengar ayat ini.
Dulu ia selalu diungkapkan oleh orang-orang tua kita — sebagai peringatan betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, dan bagaimana realitinya tidak semua anak mampu membalas jasa mereka.
Saya setuju… tapi saya juga percaya, zaman sudah berubah dan kita perlu melihat ayat ini dalam konteks yang lebih luas.
Generasi Mak Ayah Kita Lebih Hebat Dari Kita
Mak ayah kita dibesarkan oleh atok dan nenek pasca Perang Dunia Kedua.
Waktu itu hidup susah. Pendidikan terhad. Ramai terpaksa bekerja di usia muda, berkahwin muda, dan membesarkan anak dalam serba kekurangan.
Namun mereka tidak menyerah. Mereka berusaha keras, belajar, dan bekerja demi memastikan kita membesar dalam keadaan lebih selesa. Ramai antara mereka menjadi pelopor industri negara, usahawan berjaya, pendidik, dan kakitangan kerajaan yang berdedikasi.
Hasilnya — kita membesar dengan pendidikan yang cukup, kehidupan yang lebih selesa, dan peluang yang lebih luas.
Zaman Kita Berbeza
Kini, dunia berubah pantas.
Tekanan ekonomi, kos sara hidup yang tinggi, dan kesan pandemik memaksa ramai bekerja 2-3 pekerjaan untuk kelangsungan hidup. Dalam masa yang sama, jangka hayat rakyat Malaysia semakin panjang.
Ini melahirkan "sandwich generation" — terpaksa menampung generasi di atas (ibu bapa) dan generasi di bawah (anak-anak) serentak. Ada yang berusia 60-70 tahun masih bekerja, malah ada juga yang di usia ini perlu menjaga ibu bapa mereka yang sudah 80-90 tahun, sedangkan kudrat sendiri pun makin berkurangan.
Realiti Penjagaan Ibu Bapa Hari Ini
Ayat “10 anak belum tentu boleh jaga seorang ibu” tidak semestinya bermaksud penjagaan secara fizikal.
Kita perlu faham — tidak semua anak mampu menjaga ibu bapa di rumah 24 jam. Komitmen kerja dan tuntutan hidup memaksa kita berada di luar untuk mencari rezeki.
Di sinilah pusat jagaan warga emas menjadi alternatif yang patut dipandang dengan hati terbuka.
Ubah Naratif Kita Tentang Pusat Jagaan
Ya, kita akui… dalam budaya Melayu Muslim, pusat jagaan sering dianggap tempat “membuang” orang tua. Tetapi hakikatnya:
Kalau ibu ayah dibiarkan sendirian di kampung tanpa penjagaan kesihatan, itu juga satu bentuk pengabaian.
Kalau ibu ayah di pusat jagaan tetapi tidak dilawati, tidak diberi sokongan kewangan, itu pun pengabaian.
Sebaliknya, jika kita menghantar ibu ayah ke pusat jagaan yang baik, memastikan mereka sihat, makan cukup, mendapat rawatan, dilawati selalu, dibawa berjalan — itu juga tanda anak yang mengenang jasa.
Bezakan Pusat Jagaan & Pusat Kebajikan
Tidak semua pusat jagaan adalah pusat kebajikan. Ada pusat jagaan yang profesional, memantau kesihatan, menyediakan penjagaan rohani, dan memberi aktiviti harian yang sesuai.
Bila kita tahu mak ayah dijaga dengan baik, kita boleh bekerja dengan hati yang tenang.
Dan percayalah, menjaga tidak semestinya bermaksud kita mesti bersama 24 jam — ia bermaksud kita pastikan mereka dijaga dengan penuh kasih sayang dan perhatian, walau di mana mereka berada.
💬 Mesej saya mudah — jangan terus menghukum.
Setiap anak ada situasi berbeza. Yang penting, jangan abaikan ibu ayah, sama ada kita jaga sendiri atau dibantu pusat jagaan.
Kerana pada akhirnya, yang mereka mahukan hanyalah dikasihi, diingati, dan ditemani.